Monday, 23 March 2015

Pengertian bahasa dan istilah

ANTA TANYA NAHHNU JAWAB

Soalan

Ustaz ASA, boleh tak terangkan kepada kami apa itu asbabun nuzul?

Jawapan

Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa konsep utama penurunan Al-Quran adalah untuk menjadi panduan, petunjuk serta ikutan kepada umat manusia seluruhnya. Kandungannya meliputi segala urusan keduniaan berkaitan kehidupan manusia, merangkumi urusan pentadbiran, akhlak, hukum hakam, ibadat dan sebagainya. Antara kandungannya yang lain adalah tentang sejarah iaitu perkara yang telah berlaku, perkara yang sedang dan akan berlaku. Ayat - ayat yang diturunkan pula meliputi tujuan umum dan tujuan khusus. Ada antara ayat-ayat al-Quran yang diturunkan bagi menghuraikan tentang sesuatu perkara, atau menjelaskan hukum-hakam atau untuk menjawab soalan yang diajukan kepada nabi. Jadinya,  peristiwa yang berlaku di sebalik penurunan sesuatu ayat itulah dinamakan Asbabun nuzul.


Soalan

Ustaz ASA, apakah pengertian asbabun nuzul  dan boleh tak ustaz-ustaz huraikan contohnya?


Jawapan

Untuk mengetahui pengertian asbabun nuzul, kita akan melihat pengertiannya dari segi bahasa dan istilah.

Pada Bahasa  : Menurut Kamus Idris Al-Marbawi, perkataan اسباب berasal dari kata dasar سبب yang bermaksud sebab.
Perkataan نزول pula bermaksud turun. Jadi perkataan asbabun nuzul bermaksud sebab-sebab turunnya ayat al-Quran kepada nabi.

Pada Istilah : Asbabun nuzul membawa maksud apa-apa peristiwa yang berlaku yang menyebabkan penurunan sesuatu ayat atau beberapa ayat, atau pemberian jawapan terhadap sebabnya, atau untuk menerangkan tentang hukumnya pada masa berlakunya peristiwa itu atau sebagai menjawab pertanyaan yang diajukan kepada Rasulullah. Lalu turunlah ayat bagi menjelaskan perkara tersebut.

Menurut Manna Khalil al-Qattan dalam bukunya Mabaahits Fii ‘Uluumil Qur’an, Asbabun nuzul adalah sesuatu yang kerananya AlQuran diturunkan untuk menerangkan status (hukum)nya, pada masa hal itu terjadi, baik berupa peristiwa mahupun pertanyaan.

Oleh itu asbabun nuzul dapat diertikan sebagai sebab sebab turun ayat. Dan ‘sebab’ ini dapat dilihat dalam bentuk peristiwa yang berlaku. Apabila ayat diturunkan sebagai penjelasan atau penceritaan sempena berlakunya sesuatu peristiwa, maka peristiwa tersebut dinamakan asbabun nuzul . Contohnya hadis riwayat al-Bukhari tentang sahabat bernama Khabbab al-‘Arath katanya :

عَنْ خَبَّاب بْنِ الأَرَث رَضِىَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : كُنْتُ قَيِّنًا ( اي حَدَّادًا ) وَكاَنَ لِىْ عَلىَ (العَاص بن وَائِل) دَيْنٌ, فَجِئْتُ أَتَقَاضَاهُ دَيْنِيْ فَقَالَ لِيْ : لاَ أُعْطِيْكَ دَيْنُكَ حَتىَّ تَكْفُرَ بِمُحَمَّدٍ وَتَعْبُدَ اللآت وَالْعُزَّى , فَقُلْتُ : لاَ أَكْفُرُ حَتىَّ يُمِيْتَكَ اللهُ ثُمَّ يَبْعَثَكَ , فَقَالَ : إِنِّىْ اِذًا لَمَيِّتٌ ثُمَّ مَبْعُوْثٌ , فَانْتَظِرْنِيْ اِلىَ ذَلِكَ الْيَوْمِ فَسَأُوْتِىْ مَالاً وَوَلَدًا فَاُوْفِيْكَ دَيْنَكَ , فَأَنْزَلَ اللهُ فِيْهِ قَوْلَهُ

Maksudnya : “ Aku adalah seorang qain (tukang besi). Al-‘As Ibn Wa’il ada berhutang denganku, lalu aku pergi kepadanya untuk menuntut hutangku itu,Lalu al-‘As berkata kepada ku : aku tidak akan membayar hutangmu itu sehingga engkau kufur kepada Muhammad dan menyembah al-lata dan ‘Uzza. Aku menjawab : aku tidak akan kufur sehingga Allah mematikanmu kemudian membangkitkanmu. Lalu al-‘As bertanya : Aku akan mati dan akan dibangkitkan ?. Aku akan tunggu hari tersebut yang mana aku akan detang dengan harta dan anak, maka aku akan tunaikan hutang engkau. Lalu Allah menurunkan ayat sebagaimana berikut :

أَفَرَءَيتَ الَّذى كَفَرَ بِـئايٰتِنا وَقالَ لَأوتَيَنَّ مالًا وَوَلَدًا ﴿٧٧﴾ اَطَّلَعَ الغَيبَ أَمِ اتَّخَذَ عِندَ الرَّحمٰنِ عَهدًا ﴿٧٨﴾ كَلّا ۚ سَنَكتُبُ ما يَقولُ وَنَمُدُّ لَهُ مِنَ العَذابِ مَدًّا ﴿٧٩﴾ وَنَرِثُهُ ما يَقولُ وَيَأْتِيْنَا فَردًا ﴿٨٠﴾
Yang bermaksud : “Maka tidakkah engkau merasa hairan memikirkan (wahai Muhammad), akan orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami serta ia berkata: "Demi sesungguhnya aku akan diberikan harta kekayaan dan anak-pinak pada hari akhirat? (77) Adakah ia telah mengetahui akan perkara yang ghaib, atau adakah ia telah membuat perjanjian dengan (Allah) Ar-Rahman mengenainya?(78) Tidak sekali-kali! Kami akan menulis apa yang dikatakannya, dan Kami akan tambahi baginya dari azab seksa, berganda-ganda.(79) Dan Kami akan warisi (harta benda dan anak-pinak) yang dikatakannya itu, dan ia akan datang kepada kami dengan seorang diri.(80)”
                                                                            
                                                                       (Surah Maryam:77-80)

Peristiwa yang berlaku kepada Khabbab al-‘Arath ini disebut sebagai asbabun nuzul.

Bentuk asbabun nuzul yang seterusnya adalah berbentuk pertanyaan , terdapat ayat yang diturunkan dengan sebab pertanyaan yang diajukan kepada Rasulullah yang meminta baginda menyatakan hukum atau menerangkan sesuatu. Contoh yang berkaitan dengan hal ini ialah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Mu’az bin Jabal katanya :

عَنْ مُعَاذٍ بْنِ جَبَل رضى االه عنه أَنَّه قَال: يَا رسولَ الله, إِنَّ الْيَهُودَ تَغَشَّانَا وَيُكَثِّرُوْنَ مَسْأَلَتَنَا عَنِ اْلأَهِلَّة  فَمَا بَالَ الْهِلاَلُ يَبْدُو دَقِيْقًا ثُمَّ يَزِيْدُ حَتىَّ يَسْتَوِى وَيَسْتَدِيْر ثُمَّ يَنْقُص حَتىَّ يَعُوْد كَمَا كَانَ ؟   فَأَنْزَلَ اللهُ الآيَة

Yang bermaksud “ Sesungguhnya seorang Yahudi telah menipu kami dan menambah masalah kami, dan bertanya berkaitan dengan anak bulan. Kenapa anak bulan itu mula-mula kecil bentuknya ,kemudian semakin besar sehinggalah menjadi separuh ,kemudian menjadi purnama dan kemudian kurang, mengecil balik hingga kedudukannya yang asal. Maka Allah turunkan ayat al Quran sebagaimana firmannya :

يَسـئَلونَكَ عَنِ الأَهِلَّةِ ۖ قُل هِىَ مَوٰقيتُ لِلنّاسِ وَالحَجِّ ۗ وَلَيسَ البِرُّ بِأَن تَأتُوا البُيوتَ مِن ظُهورِها وَلٰكِنَّ البِرَّ مَنِ اتَّقىٰ ۗ وَأتُوا البُيوتَ مِن أَبوٰبِها ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ ﴿١٨٩﴾ (البقرة: 189)

Maksudnya : “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (peredaran) anak-anak bulan. Katakanlah: "(peredaran) anak-anak bulan itu menandakan waktu-waktu (urusan dan amalan) manusia, khasnya ibadat Haji. Dan bukanlah perkara kebajikan: kamu memasuki rumah dari bahagian belakangnya (ketika kamu berihram) akan tetapi kebajikan itu ialah perbuatan orang yang bertaqwa; dan masuklah ke rumah (Kamu) itu melalui pintunya, serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.”

No comments:

Post a Comment